Nyatanya bahagia itu tidak bakal kita menjenguk setiap hari. Seperti langit yang membiru, suatu saat, pasti dilitupi awan kelabu abu yang berbalam antara putih dan hitam. Mungkin aku terleka menatap langit yang biru sampai aku lupa tentang wujudnya awan. Atau barangkali saja aku berfikir bahawa kalaupun awan itu datang, pasti ia dalam bentuk seputih salju. Aku lupa kalau awan itu boleh juga datang dalam bentuk hitam dan berat, lalu menumpahkan segala isinya ke bumi hingga membanjiri dunia. Ya. Duniaku yang selalu disinari bahagia itu kini sudah mulai dibanjiri oleh rintik-rintik hujan yang mulai menderas.
Deras. Aku tidak tahu dari mana datangnya banjir itu. Nyatanya, pertemuan demi pertemuan antara aku dan Iman mulai disergap curiga oleh rakan-rakan sekolah. Sudah tentulah mereka akan mulai curiga bila melihat seorang pelajar lelaki yang terkenal mahal, sombong dan suka menyendiri itu akhirnya mendadak menjadi peramah dengan aku si anak baru. Rakan perempuan sekelasnya saja belum tentu ditegurnya, jadi apa urusannya sampai bertemu di padang tiap hari denganku? Aku yang tidak punya keistimewaan dengan tubuh kurus cengking dan wajah bujur serta berkulit sawo matang ini? Aku yang tidak tahu bergaya hanya tahu bertocang kuda setiap hari dengan baju tanpa jenama mahal. Aku yang tidak tahu bersikap ramah dan cuma tahu tersenyum-senyum kambing. Oh, sudah tentulah mereka jauh lebih baik berbanding aku. Namun, mulut dan perlakuan barangkali mampu menjadi pembohong, tetapi bahasa tubuh dan kerdip mata tidak. Maka cerita itu pun bagai carikkan bulu ayam yang diterbangkan dari atas atap, singgah dan hinggap kemana-mana, dan kepada siapa-siapa hingga aku menjadi sasaran empuk untuk dijadikan lempias kemarahan kaum hawa. Cemburu. Barangkali itu perkataan yang terbaik untuk mengistilahkan punca kemarahan mereka.
Lalu cemburu itu pun akhirnya menjadi duri yang menikam kehidupanku seterusnya. Sungguh aku tidak dapat menerima perlakuan seperti itu dalam kehidupanku. Setiap hari aku dicemuh dan dicebik sepertinya aku hanyalah pembawa sial yang telah melakukan kesalahan besar dalam hidupku. Dalam keadaanku sebagai pelajar baru yang baru meniti mencari sahabat baru, jangankan menambah kawan, malah yang ada di tanganku pun lenyap begitu sahaja. Ananta, sahabat petangku ketika latihan sukan juga sudah mulai menjauhkan diri. Kumpulan 4X100meter ku pun sudah mulai membubar kemesraannya. Mawar dan Risa menemani aku dengan mata curiga dan penuh tandatanya. Mungkin kerana kami terlanjur rapat maka mereka agak segan meninggalkan aku seperti yang lainnya.
Sunyi pun memulai hariku. Tiada lagi teguran rakan-rakan sekelas saat aku datang di awal pagi. Mereka seolah sudah menubuhkan kumpulan sendiri yang kerjanya cuma memerhatikan aku dari jarak jauh. Buku kerjaku hilang sungguhpun sudah kupasti aku meletakkannya di situ sebelumnya, lalu aku didenda kelilingi kelas dan ditertawakan. Bila aku menjawab soalan guru, jawapanku akan diperbetulkan dengan ayat yang lebih baik oleh yang lainnya, seolah guru geografi itu lebih mementingkan bahasa dari fakta. Keadaan itu benar-benar membunuh keyakinanku. Semahal inikah harga yang perlu kubayar untuk sebuah persahabatan dengan si pujaan sekolah?
Setelah berhari-hari berperang dengan perasaanku sendiri, akhirnya aku mengambil keputusan untuk menghentikan saja petualanganku. Cukuplah sudah Tuhan meminjamkan bahagianya untukku dalam waktu sedetik itu. Aku harus pulang ke bumi. Sungguh, aku tidak mahu kehilangan pertemuan manis dengannya dua kali sehari, tapi aku juga tidak mahu kehilangan maruahku. Pagi tadi, graf carta matematik yang kusiapkan sampai bersengkang mata hingga ke dini hilang lagi dari buku latihan. Nampak sangat ianya dikoyakkan dalam keadaan tergesa-gesa menyebabkan helaian buku latihanku nampak comot dan tidak teratur. Aku dimarahi didepan kelas dan bukuku dicampak begitu saja ke lantai. Aku mendengar suara ketawa tertahan saat aku memungut buku itu. Ingin saja aku menjerit dan bertanya siapa dalang di balik semua itu. Tapi tentu saja ia perbuatan bodoh dan sia-sia. Tidak akan ada yang mengaku. Lebih buruk, nanti aku dikata sengaja menutup kesalahan dengan menuduh orang lain sebagai punca.
Konsekuensi dari kejadian itu menjadikan aku nekad untuk tidak menemui Iman lagi di perpustakaan seperti biasanya. Waktu rehatku mulai diisi dengan menemani Mawar dan Risa di konti. Tanpa banyak soal, mereka memberiku ruang di situ meski aku tiada apa yang dapat kulakukan selain duduk dan termenung. Saat itu aku membayangkan kalau Iman sedang menantiku di ruangan baca seperi selalu. Sudah tentulah dia akan merasa hairan kalau sampai jam rehat habis aku masih tidak muncul di situ. Lalu, bagaimana pula kalau dia datang ke sini dan mencariku? Memikirkan kemungkinan itu aku jadi panik lalu meminta diri pada kedua sahabatku itu untuk mencari tempat persembunyian lain yang lebih selamat.
Namun kemanalah seorang manusia boleh pergi dengan kadar keluasan sekolah yang sangat sederhana ini? Waktu petang kami terpaksa bersemu muka juga pada latihan acara padang yang bakal berakhir besok. Ya, syukurlah cuma tinggal besok kerana lusanya akan berlangsung MSSD, tempat pertempuran pada segala usaha kami selama ini. Aku meminta izin dari jurulatih agar dipulangkan lebih awal dengan bohong-bohong yang klise. Jurulatihku membenarkannya tanpa banyak bertanya dengan janji aku akan meneruskan latihanku di rumah.
Demi Tuhan, kenyataan bahawa aku tidak dapat menatap senyum dan matanya adalah sesuatu yang amat menyeksakan jiwaku. Sesekali aku merasa bodoh melakukannya kerana apa pun yang aku lakukan tidak bakal menghentikan perlakuan rakan-rakan sekolahku kepadaku. Atau juga masih terlalu awal untuk menyakini mereka kerana mereka sesungguhnya belum benar-benar sedar bahwa aku sudah cuba menjauhi Iman.
Aku menyedari kehairanan dan kebingungan Iman. Terang-terangan aku akan mengelak setiap kali mata kami bertembung. Saat dia melemparkan senyumnya, aku segera memaling muka dan saat jalan kami berselingan, aku bergerak pantas seolah-olah aku tidak melihatnya. Aku terus mengelak pertemuan kami hingga ke acara sukan daerah. Aku berusaha untuk tidak menjenguknya di hujung padang dalam acara lompat jauhnya dan hanya mendengar namanya dipanggil dari corong pembesar suara sebagai pemenang tempat kedua. Saat giliranku beraksi di trek lumba, aku sedar kalau dia berada di tepi garisan memberi semangat. Begitu melihatnya, langkahku seakan memberat lalu jatuhlah aku ke tempat ketiga. Syukur saja pasukan 4X100meter ku berjaya menjadi johan dan mewakili sekolah ke peringkat seterusnya.
Aku pulang begitu leherku sudah penuh dengan medal gantung meski acara sukan belum tamat sepenuhnya. Lemah kubawa langkahku meninggalkan astaka dan padang daerah. Ketika aku membelok ke samping dewan, aku melihat Iman sudah berdiri di situ dengan kedua tangannya disilangkannya ke dada. Dia memerhatikanku dengan pandangan sedikit tajam. Marah. Ya. Dia kelihatan sedikit marah. Benarkah?
Agak terlewat untuk aku berbalik kerana dia sudah memanggil namaku. Perlahan aku berhenti, membelakanginya tanpa menoleh. Aku merasa aura tubuhnya yang hangat berada di sampingku.
“Kau kenapa?” tanyanya terus tanpa basa-basi. Aku diam tidak menyahut. “Kau seperti mengelak dariku. Kutunggu kau di perpustakaan tapi kau tak datang. Kucari kau di konti tapi kau tak ada. Kutegur kau di padang tapi kau tak menyahut. Ada apa?” soalan demi soalan menubi dari mulut Iman. Perlahan sekali bunyinya, hanya boleh didengar olehku sendiri.
Bila masih tidak ada sahutan dariku, suaranya mulai kedengaran putus asa. “Dian...”dia memanggilku. Lemah sekali bunyinya. “Kau...buat aku sepertinya aku sudah membuat kesalahan yang layak dihukum...” gumamnya antara dengar dan tidak.
Perlahan aku menoleh. Mata kami bertatapan antara rasa haru dan rindu. Benarkah? Ya. Aku membaca kerinduan dalam matanya. Adakah dia juga membaca kerinduanku? Sungguh aku begitu rindu berada di dekatnya seperti selalu, bercerita tentang apa saja dan ketawa lepas bagai layang-layang di atas langit. Sesaat aku menyesali keputusan dan tindakan bodohku hingga memaksa kami kembali jadi manusia asing seperti mulanya.
Aku mengumpul keberanianku untuk bersuara namun segalanya seakan tersekat di tulang dadaku. Dari kejauhan, aku melihat sekumpulan pelajar perempuan yang sangat kubenci itu bergerak menuju ke arah kami. Aku yakin mereka tidak menyedari keberadaan kami di situ dan terus berdiri di situ menghadapkan aku pada risiko untuk ditangkap basah. Otakku mula ligat mencari keputusan dan akhirnya aku memutuskan untuk meninggalkan Iman sendiri di situ.
“Maaf...”hanya itu yang mampu aku ucapkan. Aku menundukkan kepala ku tanda mohon pamit. Lalu tanpa sedar kakiku melangkah selaju mungkin membayangkan bahawa aku sedang berlari lagi di atas trek lumba lari yang baru kulalui tadi. Dari kejauhan aku mendengarnya meneriakkan namaku;
“Dian....!”
Aku menangkap kebencian dan ketidakpuasan dari suara itu. Kututup telingaku dengan telapak tangan dan terus berlari selaju mungkin.
No comments:
Post a Comment