Hari ini sudah masuk hari ketiga aku di sekolah baru. Perasaan gelisah sudah mulai menguasai diri. Jujur, aku begitu merindukan sepasang mata itu. Aku masih ingin menatapnya meski cuma dari jauh. Agak mustahil aku tidak menemukannya di mana-mana di sekitar sekolah yang luasnya agak sederhana ini. Tidakkah dia juga ingin bertemu aku? Atau, benarkah aku sudah benar-benar menerbit rasa tidak selesa dalam dirinya hingga dia tidak berkeinginan langsung untuk mencari aku? Oh, perasan betul, bentakku sendiri. Siapalah aku untuk diincar oleh seorang pelajar lelaki berjawatan tinggi dengan aset yang begitu mahal? Sudah pastilah lelaki setampan dia punya ramai peminat dan tentu saja, sudah punya pilihan sendiri.
Masuk hari keempat, dua sahabat baruku mengajakku ke perpustakaan untuk mencari maklumat tentang kajian kes yang diamanahkan kepada kami. Perpustakaan itu terletak di tingkat satu, berada tepat di atas kelasku, tetapi jalan untuk ke sana perlu melalui tangga yang agak jauh ke hujung lorong. Ia adalah lorong yang belum pernah aku lalui sebelum ini. Kalau aku berdiri di hujung lorong ini, maka ia akan bertentangan tepat dengan kelasku.
Kami mendaki anak tangga dan melalui sebuah lagi koridor menuju ke perpustakaan. Suasana sekitar perpustakaan agak sunyi. Aku mengambil tempat di sebelah sudut dekat dengan rak rujukan sementara Risa dan Mawar berurusan di kaunter. Begitu aku melabuhkan punggung, aku merasa diriku di perhatikan. Aku menyebarkan pandanganku dan ternyata, mataku mula terkunci pada sepasang mata yang sedang balik menatapku dari sebelah meja, bertentangan dengan mejaku.
Aku terpana seketika. Oh, jadi di sinilah dia selama ini. Memaku diri di dalam perpustakaan yang dingin dan sunyi, pantaslah aku tidak pernah menemuinya di mana-mana. Ya Tuhan, betapa aku begitu merindukan sepasang mata itu. Sepasang mata teduh dan jernih yang kusimpan jauh di gelap hatiku.
Dia kemudiannya melarikan matanya dan kembali tunduk meneruskan pembacaannya yang terganggu kerana kehadiranku. Aku pun mula gugup dan berusaha mencapai apa saja di hadapanku untuk dijadikan mangsa bacaan. Penipu. Aku tidak mampu menjadi pembohong. Tanganku bergetar. Kerana apa? Bukankah itu yang kucari selama empat hari ini? Ataukah kerana bukan dengan cara ini yang aku harapkan?
Mawar dan Risa pun sampai. Mereka lalu duduk di sebelahku dan meletakkan sejumlah buku rujukan di atas meja. Ada yang tebal, ada yang tipis, ada yang berkulit keras, ada juga yang sudah terkoyak mukasuratnya. Aku hanya memerhatikannya dengan hampa lalu tanpa sedar, terlirik lagi pada dia yang ada bertentangan denganku. Dia juga rupanya sedang memerhatikanku lalu mengalihkan lagi pandangannya. Lalu begitulah seterusnya hingga Mawar pula mengesani ada sesuatu yang tidak beres padaku.
“Kau kenapa?”tanya Mawar kesal begitu aku tidak mampu memberikan tumpuan sebaiknya pada kerjaku. Aku menggelengkan kepalaku laju-laju.
“Dari tadi kau asyik tengok dia,” Mawar melirik ke samping, tepatnya, ke arah bertentangan denganku. Aku menggeleng lagi, lebih laju dari tadi rasanya.
“Dan dia pun asyik tengok Dian dari tadi,ok,” sampuk Risa tanpa mengangkat mukanya dari pembacaannya.
Mawar tersenyum kelucuan.
“Kenapa?”tanyaku hairan.
“Namanya Iman. Tapi jangan buang masa. Dia tu gay,” bisik Mawar perlahan.
“Hah?” aku terperangah kaget. Setampan itu gay? Apa kena pada semua perempuan di dunia ni? Tidak adakah yang menarik lagi untuknya?
“Jangan mengada-ngadalah Mawar,” balas Risa hampir ketawa mendengar ulasan Mawar.
“Habis tu, dia tidak pernah beri respon langsung pada mana-mana pelajar perempuan pun di sekolah ni. Bahkan yang paling cantik sekalipun tak pernah dipedulikannya. Mahal betul,” jelas Mawar dengan wajah mencebik.
Risa menyiku lenganku dan membalas berbisik,”Dia sakit hati sebab dia pun pernah mengorat Iman tapi tak laku,”
Aku tersenyum memandang Mawar,”Betul ke?”
Mawar tidak menanggapi pertanyaanku. Hanya mencebik dan mengangkat bahunya. Aku kembali menatapnya dari ekor mataku. Oh, jadi namanya Iman. Dan dia juga bukanlah seperti apa yang aku fikirkan. Dia bukan pengawas yang membanggai jawatan dan asetnya dan dia juga bukan menyembunyikan diri dariku. Dia memang dia yang gemar menyendiri dan ya, mahal.
Malam itu sekali lagi aku membawa wajahnya dalam mimpiku. Namun kali ini, kubawa dia beserta namanya sekali.
Iman.
No comments:
Post a Comment