Saturday, January 21, 2012

Kelas 5 Sastera; Dia bukan di sini.


Aku diletakkan di kelas 5 Sastera bersama 40 orang pelajar lain. Kehadiranku menjadikan jumlah pelajar di kelas itu kepada angka 41. Cukup sesak rasanya untuk sebuah kelas berukuran 25X30 kaki dengan jarak dari lantai ke siling sekitar 14 kaki. 

Meja-meja pelajar disusun dalam keadaan berjajar dengan susunan tiga meja selari. Sebuah meja guru diletakkan di hujung dinding di hadapan kelas sebelah kiri. Papan tulis yang berwarna hijau tua diletakkan berkembar menutupi sebahagian dinding hadapan kelas, manakala papan kenyataan di letakkan di sebelah papan tulis. Kipas usang dan sudah bebunyi berayun lesu di atas siling menghamparkan angin yang malu-malu. Dinding kelas dicat dengan warna biru muda cerah yang sudah agak lusuh warnanya. Tingkap kaca yang seharusnya jernih diwarnakan dengan cat biru tua untuk menghalang tusukan matahari menjadikan kelas itu nampak suram dan malap. Tidak ada poster-poster motivasi yang tergantung melainkan jadual pembersihan kelas dan nota-nota penting yang tertampal begitu sahaja di papan kenyataan. Secara keseluruhannya, kelas itu begitu hampa warna dan kosong. Sekosong hatiku ketika melangkah masuk untuk pertama kalinya ke kelas itu setelah mendapati pria bermata jernih itu tidak berada di sana.

Pelajar perempuan ternyata lebih ramai di kelas ini berbanding pelajar lelaki. Mereka menempati hampir sepertiga kelas. Mereka menerima kehadiranku dengan reaksi yang pelbagai. Ada yang membalas senyumku dengan ramah, ada pula yang hanya mengangkat kening dan ada pula yang hanya melirikku dengan ekor mata. Pelajar lelaki, seperti biasa, lebih bersikap ramah dan menghulurkan salam perkenalan melalui siulan-siulan nakal.

Aku duduk di barisan tiga dari belakang bersama teman baru yang kukenali sebagai Mawar dan Risa. Keduanya begitu ramah dan bersahabat. Mawar merupakan seorang gadis berkulit putih langsat dan gebu. Senyumannya secomel anak kecil. Matanya akan menyipit begitu bibirnya mengukir senyum.Rambutnya mengingatkan aku pada siri Jepun, Miss Comet. Sementara Risa pula merupakan gadis berkulit hitam manis yang agak lucu dan bijak. Bahasanya spontan dan pemerhatiannya terhadap sesuatu agak tajam. Aku suka keduanya. Mereka berusaha membuat aku senang berada di sana dan sentiasa membawaku dalam semua acara mereka.

        Sehingga jam pulang sekolah, aku tidak menemukan lagi lelaki bermata jernih itu meski sudah kujelajahi kantin dan lorong-lorong kelas bersama Risa dan Mawar. Tentu saja aku hanya mencarinya sesenyap sordadu kecil yang sedang meledaki musuh. Hanya ekor mata menjadi senjata utamaku. Namun, hingga loceng pulang berbunyi, kelibatnya langsung tidak muncul di depan mataku.

Di mana dia?
Di kelas apa dia?

Pertanyaan itu berkali-kali menjajah kepalaku namun tidak ku tahu harus bertanya pada siapa.  

No comments:

Post a Comment