Saturday, January 21, 2012

1994 : Pertemuan pertama di Sekolah Menengah

Kami bertemu buat pertama kalinya pagi itu. Sebuah pagi yang kumulai dengan muncung yang panjang. Pagi yang kurasa sangat tidak istimewa. Aku masih memprotes keputusan abah yang mahu berpindah semula ke kampung halamannya setelah begitu lama hidup di perantauan. Kerja abah sebagai seorang polis laut sering membuat kami sekeluarga hidup berpindah-randah dari suatu daerah ke suatu daerah, bahkan dari negeri ke negeri. Lalu abah ingin menamatkan cara hidup nomad itu dengan meletakkan jawatannya dan kembali semula ke kampung.

Sesungguhnya, aku, puteri bungsu kesayangan abah ini, amat membenci perpindahan. Perpindahan memaksa kita untuk memulakan hidup baru sekali lagi dari bawah, dari titik paling kosong. Nol. Tanpa teman, tanpa pengalaman, kita seperti bayi yang baru lahir di daerah yang selalu asing. Seperti hari inilah.

Hari ini adalah hari pertamaku bergelar pelajar tingkatan lima di sebuah sekolah baru. Ia juga bermaksud sekolah keenamku di sepanjang hayatku bergelar pelajar. Aku berdiri tanpa rasa di hadapan bilik guru, menanti abah menyelesaikan tugasnya untuk mendaftarkan aku. Tugasku pula mudah sekali. Aku cuma perlu memerhati dan mempelajari angin dan senario di sekolah baruku ini. Segalanya begitu asing padaku. Cuacanya, manusianya, gerak rutinnya bahkan diriku sendiri. Manusianya bergerak laju-laju seolah-olah sedang mengejar sesuatu. Pelajar perempuan berjalan berkumpulan ketawa riang dengan fesyen rambut dan tudung yang macam-macam. Pelajar lelakinya pula menempati hampir semua tempat duduk yang ada, termasuklah bangku kayu, batu landskap bahkan tepi longkang.  Sesekali mereka menoleh padaku dengan kening berkerut. Aku cuba bersikap ramah dengan melempar selembar senyum namun senyum itu kemudiannya terbuang begitu saja. Mereka memerhatikanku seolah-olah aku bakal menganggu kesenangan mereka. Aku benci reaksi dingin seperti itu. Ia membuat aku semakin merasa terasing dalam sebuah keriuhan pesta di hari pertama pendaftaran sekolah. 

Lalu pada pagi yang sangat tidak istimewa itulah aku bertemu dengannya, lelaki itu, untuk kali pertamanya, dengan cara yang juga tidak istimewa pula. Segalanya bermula dari sebuah bunyi loceng yang menamatkan huru-hara di luar kelas. Loceng itu rupanya berada tepat di atas kepalaku, sejauh hanya beberapa jengkal. Ia terletak kemas di atas dinding batu berwarna putih susu. Aku terkejut bukan kepalang mendengar bunyi loceng yang begitu tiba-tiba membunuh fikiranku yang khayal. Aku menjerit kecil diselangi derai ketawa beberapa orang pelajar yang kebetulan lewat di situ.

        Tanpa sedar aku membekap dadaku dan memejamkan mataku untuk mengusir detak jantungku yang mendadak berlari keras. Sesaat, setelah ketenangan menguasai, aku membuka mataku, perlahan, penuh hati-hati. Seolah-olah aku takut kalau loceng itu berbunyi lagi dan menggoncangkan jantungku seperti tadi.   

Lalu di situlah dia, lelaki itu. Dia berdiri tepat di hadapanku dengan baju seragam pengawas biru putih dan tali leher berwarna merah tua. Ruas cahaya matahari menimpa wajahnya yang bersinar simpati kepadaku. Ruas cahaya itu menyinarkan sepasang mata jernih berwarna coklat hazel yang diselaputi kelopak yang begitu indah. Cahaya matahari yang dipinjamnya itu juga menyerlahkan warna kulitnya yang agak lebih coklat dari kulitku. Dia memerhatikanku dengan rasa khuatir. Seketika kemudian, dia memberikanku segaris senyum indah bagaikan hirisan bulan sabit yang ranum. Aku terpana seketika. Kukira Tuhan sedang menghantar manusia yang wajahnya pasti telah dilukis oleh malaikat.  

“Kamu ok?” tanyanya. Aku tak menjawab; hanya memerhati matanya, hidungnya, alisnya bahkan bibirnya yang indah.  “Pelajar baru ya? Tingkatan berapa?” dia terus memacu soalan dan aku terus memacu kebisuan. “Jangan berdiri di situ lagi,” katanya tanpa peduli aku menyahut atau tidak. Dia menuding jarinya ke atas menunjukkan loceng elektrik berwarna merah di atas kepalaku. Aku tetap tidak berkutik, takut kalau kudongakkan kepala, dia akan hilang begitu aku menunduk kembali.

Begitu melihatku terus mematung, dia mula menjadi salah tingkah. Matanya yang bersinar simpati tadi sudah bertukar menjadi sinar kekeliruan. Mungkin dia mengira bahawa aku tidak menghargai keprihatinannya, atau  mungkin saja wajahku menerbitkan sinar yang menakutinya. Penuh ragu-ragu dia bergerak pergi setelah menunduk berbasa-basi kepadaku. Aku hanya menghantarnya lewat mataku, menyesali kebodohanku yang telah menakutinya.  

Dia pun bergerak pergi semakin menjauh. Sebelum bayangnya hilang, dia membalikkan tubuhnya dan membalas tatapanku. Tanpa senyum, tanpa rasa, dia kemudiannya berpaling dan hilang di balik tembok batu.

Sesungguhnya, waktu itu, percayalah, bahawa aku sudah cuba menyakinkan diriku bahawa aku sudah benar-benar jatuh cinta. Jatuh cinta dengan seorang lelaki bermata coklat jernih dengan senyum indah yang bahkan tidak ku ketahui namanya. 

No comments:

Post a Comment