Saturday, January 21, 2012

Intrologi : 1996

Saat cintamu berbisik dalam mimpi

Hari masih begitu dini ketika aku terjaga dari lenaku yang panjang. Terasa seperti ada yang membangunkanku dari mimpi yang membuai. Lalu tanpa sedar bibirku yang masih kering menyebut sebuah nama yang begitu lama terbenam dari memoriku. Terasa begitu aneh menyeru nama yang sudah lama terpendam itu.

Sebuah nama itu, sudah berkurun ku tawan dalam relung jantung dan gelap hatiku selama ini. Entah apa yang membebaskannya dari penjara hati perawanku. Mungkinkah rindu yang kupaksa membekap selama ini sudah tidak mampu lagi memendap dalam paksinya. Ataukah kehidupan yang kulalui hari ini tidak berjaya menjadikan aku seorang pembohong yang mampu menipu perasaan sendiri.


Aku cuba memejamkan mataku kembali. Namun, sesuatu di dalam dadaku memukuli benakku untuk terus terjaga. Aku pun membekap di alam ilusiku. Lalu tenggelamlah aku dalam gelap malam bersama puin-puin kenangan yang pecah-pecah. Tidak ada satupun antara cebisan kenangan itu yang mampu kuhimpunkan kembali mengikut kronologi yang betul. Satu-satunya cebisan yang mampu kuingat dengan baik adalah seraut wajah yang penuh mendamaikan. Wajah itu pula bersela-sela antara resah kenangan dan gundah rasa. Lalu jadilah aku si perengus di tengah malam berusaha melempias sebuah rasa yang mula meraksa jiwaku.

Oh, wajah itu. Kenapa muncul lagi dan melumatkan senyum yang baru kutemu di dunia serba baru ini? Enyahlah kau bersama pekat malam dan sejuk angin di bulan Ogos. Tunggu! Hatiku menjerit lara. Ogos? Aku mencapai kalender kecil di atas meja. Meminjam cahaya lampu neon dari seberang jalan yang menyuluhi gerbang tingkapku, aku menyipitkan mata melihat tarikh hari ini. Pada dada kalender tertulis jelas tarikh 4 Ogos. Bukankah hari ini adalah hari ulang tahunnya! Aku memejamkan mataku rapat-rapat sehingga tidak ada satupun yang kulihat kecuali gelap yang memekat. Lalu dari celah gelap itu, wajah itu muncul kembali.

Fatamorgana pun bermula. Si pemilik nama itu pun hadir lengkap dengan segalanya yang membuatkan aku jatuh cinta dulu. Dia datang bersama kerdip mata indahnya nan jernih, serta segaris senyumnya yang tulus dan memukau. Ada cinta dalam matanya. Cinta yang sangat kudamba dan tidak pernah ingin aku lewatkan. Dia lalu mengulurkan tangannya untuk mengajakku pergi. Namun, ketika huluran tangannya ingin kusambut, tiba-tiba dia menghilang di balik kabus yang entah datangnya dari mana. Lalu mataku pun tercuak lagi dengan dada yang sesak dan rasa perih yang kian memerih.

Bayangnya hilang. Kucari di merata kamar namun yang ada hanyalah sepi. Sepi yang mati. Semati hatiku yang tertegun kaku pada ingatan tentangnya.

Sejak detik itu, aku tidak mampu lagi menipu diriku betapa aku begitu merindukan tuan si pemilik nama yang punya seraut wajah yang indah itu. 

bersambung...

No comments:

Post a Comment