Thursday, January 26, 2012

Puisi si Luna Biru

Ia adalah pagi yang dingin di pertengahan bulan Mei yang kering.

Seharusnya bulan Mei adalah bulan paling kering di Sabah kerana pada ketika ini kaum KadazanDusun akan meraikan musim menuai padi. Tapi mungkin saja gejala pencemaran alam telah memutuskan rantaian itu hingga menyebabkan bumi merasa bingung lalu menumpahkan kedinginannya pada saat ia tidak sepatutnya ada. Kedinginan yang datang tidak diduga itu, dan sesungguhnya memang sangat tiba-tiba sekali, telah menjadikan pagiku tidak sesempurna seperti biasa. Ia telah menjadikan aku malas untuk bangkit dari tilam hingga aku terlambat bangun pagi. Konsekuensinya, tentu saja aku terlambat ke sekolah. Aku jadi kelam-kabut menyediakan itu dan ini yang seharusnya sudah kubenahi dari semalam. Rasa panik mulai mencengkam apalagi kalau Umi sudah mulai menambah beban perasaan itu dengan leteran-leteran para ibu yang dialognya kukira sama saja di seluruh dunia.

Musim semi yang berakhir

Lalu begitulah, titik
.
Semenjak detik itu, maka kini, hari-hariku pun jadi berbeza. Kehidupanku yang sebelumnya bagai taman yang punya bunga-bunga merah putih dan kupu-kupu cantik yang punya kepak menawan telah bertukar menjadi satu laluan kering yang kemarau dan berbatu-batu.Tidak ada lagi pertemuan yang semacam tak sengaja tetapi jelas dirancang itu di perpustakaan. Tidak ada lagi bicara asal ada yang melingkari pertemuan tiap petang. Tidak ada lagi pandang curi dan senyum malu-malu pada sebuah pertemuan yang terlewatkan. Kalaupun jalan kami bertembung, keduanya akan segera memaling muka bagaikan dua manusia asing di daerah yang sepi. Kam pun masing-masing. Keakraban yang bersemi dalam musim bunga yang baru berputik bertukar menjadi jauh lebih asing dari sebelumnya.

Tuesday, January 24, 2012

Turunlah ke bumi


            Nyatanya bahagia itu tidak bakal kita menjenguk setiap hari. Seperti langit yang membiru, suatu saat, pasti dilitupi awan kelabu abu yang berbalam antara putih dan hitam. Mungkin aku terleka menatap langit yang biru sampai aku lupa tentang wujudnya awan. Atau barangkali saja aku berfikir bahawa kalaupun awan itu datang, pasti ia dalam bentuk seputih salju. Aku lupa kalau awan itu boleh juga datang dalam bentuk hitam dan berat, lalu menumpahkan segala isinya ke bumi hingga membanjiri dunia. Ya. Duniaku yang selalu disinari bahagia itu kini sudah mulai dibanjiri oleh rintik-rintik hujan yang mulai menderas.

Monday, January 23, 2012

Bahagia seperti apa adanya


            Semenjak detik itu hariku jadi luar biasa indahnya. Langit kelihatan luar biasa birunya dan angin terasa luar biasa damainya. Dunia pun seakan ikut tersenyum merai senyumku yang tak pernah mahu melekang dari bibir. Sebuah bicara itu ternyata telah menghanyutkan aku dalam dunia khayal bagai seorang remaja yang kecanduan cinta. Eh, nanti dulu. Cinta? Inikah yang digelar cinta bila kau merasa seperti terlonjak di atas langit saat melihat senyumnya, atau merasa renjatan elektrik saat disapa olehnya lalu membawa getar itu dalam mimpi saat kau tidur? Barangkali terlalu awal mendefinisikannya apalagi ini adalah kali pertamanya aku melalui kadar denyutan jantung yang luar biasa cepatnya ini. Aku tidak mahu jadi remaja yang gegabah menterjemah perasaan sendiri. Kakak bilang, di usia remaja kita sering keliru memikir antara cinta dan pesona. Tapi sungguh, perasaan ini sungguh menyeksakan dan aku tidak mampu mengawal adrenalin yang mengalir dalam darahku setiap detik saat wajahnya muncul di balik bantal dan kamar tidurku.   

Saturday, January 21, 2012

Bicara Pertama


        Masa berlalu dan kami masih seperti dua manusia asing yang bertemu sekali-sekali pada pertemuan yang tidak disengaja. Senyum. Itulah yang saling bertukar antara kami. Juga balas pandang yang selalu berasal dari sebuah pandang curi. Kami bertemu di padang sekolah setiap petang saat latihan olahraga dijalankan. Dia mengambil acara lompat jauh manakala aku pula pelari pecut 100meter. Dia memerhatikanku berlari manakala aku pula memerhatikannya saat dia mula beraksi. Lalu begitulah. Acara memerhati itu tamat begitu saja begitu jam pulang sudah tiba.

Kutemukan dia di sini


Hari ini sudah masuk hari ketiga aku di sekolah baru. Perasaan gelisah sudah mulai menguasai diri. Jujur, aku begitu merindukan sepasang mata itu. Aku masih ingin menatapnya meski cuma dari jauh. Agak mustahil aku tidak menemukannya di mana-mana di sekitar sekolah yang luasnya agak sederhana ini.  Tidakkah dia juga ingin bertemu aku? Atau, benarkah aku sudah benar-benar menerbit rasa tidak selesa dalam dirinya hingga dia tidak berkeinginan langsung untuk mencari aku? Oh, perasan betul, bentakku sendiri. Siapalah aku untuk diincar oleh seorang pelajar lelaki berjawatan tinggi dengan aset yang begitu mahal? Sudah pastilah lelaki setampan dia punya ramai peminat dan tentu saja, sudah punya pilihan sendiri.

Kelas 5 Sastera; Dia bukan di sini.


Aku diletakkan di kelas 5 Sastera bersama 40 orang pelajar lain. Kehadiranku menjadikan jumlah pelajar di kelas itu kepada angka 41. Cukup sesak rasanya untuk sebuah kelas berukuran 25X30 kaki dengan jarak dari lantai ke siling sekitar 14 kaki. 

1994 : Pertemuan pertama di Sekolah Menengah

Kami bertemu buat pertama kalinya pagi itu. Sebuah pagi yang kumulai dengan muncung yang panjang. Pagi yang kurasa sangat tidak istimewa. Aku masih memprotes keputusan abah yang mahu berpindah semula ke kampung halamannya setelah begitu lama hidup di perantauan. Kerja abah sebagai seorang polis laut sering membuat kami sekeluarga hidup berpindah-randah dari suatu daerah ke suatu daerah, bahkan dari negeri ke negeri. Lalu abah ingin menamatkan cara hidup nomad itu dengan meletakkan jawatannya dan kembali semula ke kampung.

Sesungguhnya, aku, puteri bungsu kesayangan abah ini, amat membenci perpindahan. Perpindahan memaksa kita untuk memulakan hidup baru sekali lagi dari bawah, dari titik paling kosong. Nol. Tanpa teman, tanpa pengalaman, kita seperti bayi yang baru lahir di daerah yang selalu asing. Seperti hari inilah.

Hari ini adalah hari pertamaku bergelar pelajar tingkatan lima di sebuah sekolah baru. Ia juga bermaksud sekolah keenamku di sepanjang hayatku bergelar pelajar. Aku berdiri tanpa rasa di hadapan bilik guru, menanti abah menyelesaikan tugasnya untuk mendaftarkan aku. Tugasku pula mudah sekali. Aku cuma perlu memerhati dan mempelajari angin dan senario di sekolah baruku ini. Segalanya begitu asing padaku. Cuacanya, manusianya, gerak rutinnya bahkan diriku sendiri. Manusianya bergerak laju-laju seolah-olah sedang mengejar sesuatu. Pelajar perempuan berjalan berkumpulan ketawa riang dengan fesyen rambut dan tudung yang macam-macam. Pelajar lelakinya pula menempati hampir semua tempat duduk yang ada, termasuklah bangku kayu, batu landskap bahkan tepi longkang.  Sesekali mereka menoleh padaku dengan kening berkerut. Aku cuba bersikap ramah dengan melempar selembar senyum namun senyum itu kemudiannya terbuang begitu saja. Mereka memerhatikanku seolah-olah aku bakal menganggu kesenangan mereka. Aku benci reaksi dingin seperti itu. Ia membuat aku semakin merasa terasing dalam sebuah keriuhan pesta di hari pertama pendaftaran sekolah. 

Lalu pada pagi yang sangat tidak istimewa itulah aku bertemu dengannya, lelaki itu, untuk kali pertamanya, dengan cara yang juga tidak istimewa pula. Segalanya bermula dari sebuah bunyi loceng yang menamatkan huru-hara di luar kelas. Loceng itu rupanya berada tepat di atas kepalaku, sejauh hanya beberapa jengkal. Ia terletak kemas di atas dinding batu berwarna putih susu. Aku terkejut bukan kepalang mendengar bunyi loceng yang begitu tiba-tiba membunuh fikiranku yang khayal. Aku menjerit kecil diselangi derai ketawa beberapa orang pelajar yang kebetulan lewat di situ.

        Tanpa sedar aku membekap dadaku dan memejamkan mataku untuk mengusir detak jantungku yang mendadak berlari keras. Sesaat, setelah ketenangan menguasai, aku membuka mataku, perlahan, penuh hati-hati. Seolah-olah aku takut kalau loceng itu berbunyi lagi dan menggoncangkan jantungku seperti tadi.   

Lalu di situlah dia, lelaki itu. Dia berdiri tepat di hadapanku dengan baju seragam pengawas biru putih dan tali leher berwarna merah tua. Ruas cahaya matahari menimpa wajahnya yang bersinar simpati kepadaku. Ruas cahaya itu menyinarkan sepasang mata jernih berwarna coklat hazel yang diselaputi kelopak yang begitu indah. Cahaya matahari yang dipinjamnya itu juga menyerlahkan warna kulitnya yang agak lebih coklat dari kulitku. Dia memerhatikanku dengan rasa khuatir. Seketika kemudian, dia memberikanku segaris senyum indah bagaikan hirisan bulan sabit yang ranum. Aku terpana seketika. Kukira Tuhan sedang menghantar manusia yang wajahnya pasti telah dilukis oleh malaikat.  

“Kamu ok?” tanyanya. Aku tak menjawab; hanya memerhati matanya, hidungnya, alisnya bahkan bibirnya yang indah.  “Pelajar baru ya? Tingkatan berapa?” dia terus memacu soalan dan aku terus memacu kebisuan. “Jangan berdiri di situ lagi,” katanya tanpa peduli aku menyahut atau tidak. Dia menuding jarinya ke atas menunjukkan loceng elektrik berwarna merah di atas kepalaku. Aku tetap tidak berkutik, takut kalau kudongakkan kepala, dia akan hilang begitu aku menunduk kembali.

Begitu melihatku terus mematung, dia mula menjadi salah tingkah. Matanya yang bersinar simpati tadi sudah bertukar menjadi sinar kekeliruan. Mungkin dia mengira bahawa aku tidak menghargai keprihatinannya, atau  mungkin saja wajahku menerbitkan sinar yang menakutinya. Penuh ragu-ragu dia bergerak pergi setelah menunduk berbasa-basi kepadaku. Aku hanya menghantarnya lewat mataku, menyesali kebodohanku yang telah menakutinya.  

Dia pun bergerak pergi semakin menjauh. Sebelum bayangnya hilang, dia membalikkan tubuhnya dan membalas tatapanku. Tanpa senyum, tanpa rasa, dia kemudiannya berpaling dan hilang di balik tembok batu.

Sesungguhnya, waktu itu, percayalah, bahawa aku sudah cuba menyakinkan diriku bahawa aku sudah benar-benar jatuh cinta. Jatuh cinta dengan seorang lelaki bermata coklat jernih dengan senyum indah yang bahkan tidak ku ketahui namanya. 

Intrologi : 1996

Saat cintamu berbisik dalam mimpi

Hari masih begitu dini ketika aku terjaga dari lenaku yang panjang. Terasa seperti ada yang membangunkanku dari mimpi yang membuai. Lalu tanpa sedar bibirku yang masih kering menyebut sebuah nama yang begitu lama terbenam dari memoriku. Terasa begitu aneh menyeru nama yang sudah lama terpendam itu.

Sebuah nama itu, sudah berkurun ku tawan dalam relung jantung dan gelap hatiku selama ini. Entah apa yang membebaskannya dari penjara hati perawanku. Mungkinkah rindu yang kupaksa membekap selama ini sudah tidak mampu lagi memendap dalam paksinya. Ataukah kehidupan yang kulalui hari ini tidak berjaya menjadikan aku seorang pembohong yang mampu menipu perasaan sendiri.


Aku cuba memejamkan mataku kembali. Namun, sesuatu di dalam dadaku memukuli benakku untuk terus terjaga. Aku pun membekap di alam ilusiku. Lalu tenggelamlah aku dalam gelap malam bersama puin-puin kenangan yang pecah-pecah. Tidak ada satupun antara cebisan kenangan itu yang mampu kuhimpunkan kembali mengikut kronologi yang betul. Satu-satunya cebisan yang mampu kuingat dengan baik adalah seraut wajah yang penuh mendamaikan. Wajah itu pula bersela-sela antara resah kenangan dan gundah rasa. Lalu jadilah aku si perengus di tengah malam berusaha melempias sebuah rasa yang mula meraksa jiwaku.

Oh, wajah itu. Kenapa muncul lagi dan melumatkan senyum yang baru kutemu di dunia serba baru ini? Enyahlah kau bersama pekat malam dan sejuk angin di bulan Ogos. Tunggu! Hatiku menjerit lara. Ogos? Aku mencapai kalender kecil di atas meja. Meminjam cahaya lampu neon dari seberang jalan yang menyuluhi gerbang tingkapku, aku menyipitkan mata melihat tarikh hari ini. Pada dada kalender tertulis jelas tarikh 4 Ogos. Bukankah hari ini adalah hari ulang tahunnya! Aku memejamkan mataku rapat-rapat sehingga tidak ada satupun yang kulihat kecuali gelap yang memekat. Lalu dari celah gelap itu, wajah itu muncul kembali.

Fatamorgana pun bermula. Si pemilik nama itu pun hadir lengkap dengan segalanya yang membuatkan aku jatuh cinta dulu. Dia datang bersama kerdip mata indahnya nan jernih, serta segaris senyumnya yang tulus dan memukau. Ada cinta dalam matanya. Cinta yang sangat kudamba dan tidak pernah ingin aku lewatkan. Dia lalu mengulurkan tangannya untuk mengajakku pergi. Namun, ketika huluran tangannya ingin kusambut, tiba-tiba dia menghilang di balik kabus yang entah datangnya dari mana. Lalu mataku pun tercuak lagi dengan dada yang sesak dan rasa perih yang kian memerih.

Bayangnya hilang. Kucari di merata kamar namun yang ada hanyalah sepi. Sepi yang mati. Semati hatiku yang tertegun kaku pada ingatan tentangnya.

Sejak detik itu, aku tidak mampu lagi menipu diriku betapa aku begitu merindukan tuan si pemilik nama yang punya seraut wajah yang indah itu. 

bersambung...